MANILA – Presiden
Filipina, Benigno Aquino hari ini berkata, terdapat tanda-tanda yang
jelas wujudnya konspirasi dalam tindakan Jamalul Kiram III dan para
pengikutnya menggunakan kekerasan dalam tuntutan mereka ke atas Sabah.
Presiden itu berkata, beliau tidak buta kepada tanda-tanda yang menunjukkan konspirasi dalam ketegangan berterusan itu.
Aquino kemudian
memberitahu pemberita bahawa beliau telah menerima laporan perisikan dan
pihak berkuasa negaranya sedang memantau “orang berkepentingan” dalam
isu Sabah.
Aquino berkata, semua
individu yang bersetuju dengan tindakan Jamalul Kiram dilihat mengulangi
baris-baris kata yang sama berulang kali.
Beliau juga menyatakan bahawa Jamalul Kiram perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 100,000 Peso (RM7,611) sekiranya mahu menyewa satu bot besar bagi membawa pasukannya ke Lahad Datu
Beliau berkata, keluarga Kiram menggunakan dua bot besar dan sebuah bot laju untuk membawa pengikut mereka ke Sabah.
Aquino menzahirkan Jamalul Kiram tidak mampu membiyai operasi seperti itu.
Malah katanya,
Jamalul Kiram yang menghadapi masalah buah pinggang, terpaksa menerima
sokongan kewangan dari Philippine Charity Sweepstakes Office (PCSO)
untuk melakukan rawatan dialisis dengan kerap.
“Dana untuk makanan,
wang yang ditinggalkan, kumpulan yang disepadukan, kritikan yang senada,
semuanya berarah kepada satu konspirasi,” katanya.
Aquino menegaskan beliau bukan bercakap tanpa bukti dalam tuduhannya bahawa wujud konspirasi dalam isu pencerobohan di Sabah.
Aquino menambah, beliau
telah bercakap dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun
Razak yang berkata rundingan dengan kumpulan Jamalul Kiram tidak mungkin
akan diadakan selepas kematian komando polis Malaysia minggu lepas.
Dalam satu kenyataan,
Aquino memberitahu, Jamalul Kiram, salah satu daripada pihak yang
menuntut Kesultaan Sulu, bahawa adalah tidak munasabah untuk meminta
kefahaman “apabila anda meletakan pistol di kepala saya”.
Beliau berkata, selain
daripada nasib para pengikut Jamalul Kiram, kerajaan Filipina juga
bimbang dengan nasib 800,000 warga Filipina di Sabah yang kehidupan
mereka boleh terjejas akibat tindakan kumpulan Kiram.