MANILA - Seorang pastor
yang dikenali sebagai Saycon tampil mengakui beliau adalah penasihat
kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III dalam membuat tuntutan ke atas
Sabah.
Saycon berkata beliau
bekerja untuk sultan atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai Setiausaha
Agung Majlis bagi Hal Ehwal Filipina (Copa).
Dalam temu bual dengan
media tempatan Saycon berkata, beliau terpanggil untuk menerangkan
keadaan sebenar selepas pengikut Sultan Sulu dan pasukan keselamatan
Malaysia menemui jalan buntu untuk menyelesaikan masalah itu di Lahad
Datu, Sabah hingga mencetuskan keganasan.
Saycon mendakwa sebagai
pakar strategi politik dan berperanan ketika penggulingan bekas Presiden
Joseph Estrada pada 2001 dan berpengaruh dalam pentadbiran bekas
Presiden Gloria Macapagal Arroyo.
“Sebagai seorang
penasihat kepada sultan, saya membantu beliau mengumpul bukti dan
dokumen yang akan membantu dalam tuntutan Sabah kepada Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Saya juga membantu beliau menyusun strategi
supaya beliau dapat fokus kepada usaha untuk mendapatkan semula Sabah,”
katanya dipetik Globalnation Inquirer.
Ditanya sama ada beliau
juga menasihatkan Jamalul untuk menghantar Azzimuddin dan bilangan
pengikut ke Sabah untuk menuntut sebahagian wilayah Malaysia, beliau
mejawab: “Tidak."
Namun beliau mengakui bahawa mengetahui tentang rancangan menuntut Lahad Datu sejak Ogos lalu.
Saycon berkata, terdapat empat percubaan untuk memasuki Lahad Datu iaitu pada Ogos dan September lalu.
“Ketika itu, saya juga mendapat tahu tindakan nekad memasuki Lahad
Datu disebabkan terdapat pengikut mereka di Tausung Sabah tertindas ini
menyebabkan Sultan Sulu berasa malu kerana tidak mampu berbuat apa-apa.
Beliau juga menerima laporan bahawa terdapat pengikutnya dipukul anggota
keselamatan Malaysia sebelum dihantar pulang ke Sulu dan Tawi-Tawi,”
katanya.
Menurutnya, selepas
kerajaan menandatangani perjanjian damai awal dengan Barisan Pembebasan
Islam Moro pada Oktober 2012, terdapat ketegangan dalam pentadbiran
kesultanan, tetapi tiada rancangan untuk menduduki Sabah.
Namun, Jamalul khuatir
dan kecewa kerana permintaan mereka kepada kerajaan termasuk tuntutan
Sabah dalam rundingan damai dengan Bangsamoro itu tidak dinyatakan.
“Percubaan ketiga adalah
pada November selepas Jamalul mengeluarkan 'dekri diraja' membenarkan
Azzimuddin pergi ke Sabah, perintah itu dikeluarkan semasa mesyuarat
puak di Bandar Zamboanga.
Beliau berkata, sebelum
Disember lalu beliau mendapat tahu Azzimuddin telah mengumpulkan senjata
untuk penyokong dan pengikut menyeberang ke Sabah.
“Segala tindakan beliau
dari awal tidak saya setuju, malah saya meyakinkan beliau supaya
mengumpul dokumen dan sokongan untuk dihantar kepada jawatankuasa
Kehakiman PBB kerana itu usaha terakhir bagi mereka,” katanya.
Saycon berkata, Kiram
menjelaskan kepadanya bahawa Kesultanan Sulu tidak mempunyai pilihan
tetapi akan melakukan apa sahaja yang didesak oleh pengikutnya.
“Mereka akan kehilangan
maruah jika gagal untuk melakukannya, sebagai pengikut mereka hanya mahu
merebut kembali Sabah dan perkara itu memberi tekanan kepada sultan,“
katanya